Bas Panorama - Gambar hiasan
MELAKA – Sebuah bas henti-henti ‘Panorama’ menggelongsor ke hadapan dan melanggar tiga kenderaan lain ketika sedang berhenti di Jalan Melaka Pindah di Alor Gajah menghala ke Tampin di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Pemangku Supt Mohd Sham Abdullah berkata dalam kejadian 5.20 petang itu, ia tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan pada pemandu dan penumpang bas serta kereta yang terlibat.

“Sebelum kejadian, bas yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah Melaka ke Tampin itu sedang berhenti sebaik tiba di selekoh jalan berkenaan sebaik melihat deretan kenderaan berhenti di hadapannya.

“Pemandu bas berkenaan kemudian menarik brek namun kenderaan yang dipandunya menggelongsor ke hadapan dan melanggar kereta Perodua Kancil, Proton Persona dan Perodua Axia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat kurang daripada 10 penumpang di dalam bas berkenaan.

Hanya pemandu kereta Produa Axia yang dipandu warga emas berusia 76 tahun mengalami kecederaan ringan.

— BERNAMA