Mohamed Azmin mengadakan sidang media selepas keluar dari pejabat penyiasat IPD Shah Alam

Oleh MANZAIDI MOHD AMIN

SHAH ALAM – “Saya dipanggil beri keterangan hanya kerana meminta polis menjalankan siasatan ke atas anak Ketua Polis Negara yang dapat lesen perniagaan senjata api,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bercakap kepada pemberita selepas keluar dari Balai Polis Daerah Shah Alam, Mohamed Azmin berkata, beliau memberi kerjasama penuh dan menjawab semua soalan daripada pegawai penyiasat.

Beliau yang memakai baju kemeja petak, tiba di pekarangan balai polis itu kira-kira jam 5 petang dan keluar dari bilik pegawai penyiasat jam 6.30 petang.

Menteri Besar itu diiringi peguam, Latheefa Koya dan N. Surendran. Beliau disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, beliau kecewa kerana selepas membuat kenyataan itu, beliau dituduh telah mengkritik anak Ketua Polis Negara dan dipanggil untuk mendapatkan keterangan.

“Kenyataan saya itu telah dirakam dan rakaman itu telah diserahkan kepada polis. Dalam rakaman itu mengandungi ucapan saya yang meminta anak beliau disiasat apabila dilaporkan mendapat lesen penjualan senjata api.

“Saya hanya minta siasat. Itu saja. Tetapi sudah dianggap bersalah kerana mengkritik. Adakah sistem hari ini Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara tidak boleh disentuh, disiasat?,” katanya.

Kata Mohamed Azmin, beliau bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan jika siasatan ke atasnya itu berpanjangan ke mahkamah.

Kira-kira 100 penyokongnya, iaitu dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) hadir untuk memberi sokongan kepadanya. – MalaysiaGazette