PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan bermotif keuntungan yang gagal menyerahkan laporan kewangan berdepan risiko kehilangan pengiktirafan pengecualian cukai.

Keadaan itu bermakna orang ramai yang menderma untuk pertubuhan termasuk organisasi keagamaan, persatuan kebajikan, universiti dan hospital berkenaan tidak lagi menikmati pengecualian cukai.

Ia pada masa yang sama mungkin menyebabkan pengurangan sumber derma untuk pertubuhan tersebut apabila penderma tidak lagi menikmati pengecualian cukai.

China Press melaporkan, daripada 1,824 pertubuhan yang mana pendermanya layak menikmati pengecualian cukai atas sumbangan yang diberikan, hanya 362 pertubuhan menyerahkan laporan kewangan tepat pada masanya.

Untuk memastikan semua pertubuhan menyerahkan laporan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai Januari 2017 akan melaksanakan sistem merit yang mewajibkan semua pertubuhan tanpa mengira saiznya menyerah laporan kewangan.

Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan status pengecualian cukai untuk penderma mereka ditarik balik.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, tindakan itu perlu diambil kerana semakin ramai pertubuhan bukan bermotif keuntungan yang tidak menyerahkan laporan kewangan.

“Sebanyak 1,462 daripada 1,824 pertubuhan atau 80.15 peratus tidak menyerahkan laporan kewangan, keadaannya adalah membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, LHDN akan memberi peringatan mesra termasuk menghantar surat sebelum bertegas ke atas pertubuhan yang ingkar.