Shamsul Salim (dua kanan) berbual dengan salah seorang kenalan yang menziarahi ayah beliau di Sering Ukay, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 29 DISEMBER 2016

ARIF NIZAM ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Kediaman anak penyanyi veteran, Tan Sri SM Salim di Ukay Perdana mula menjadi tumpuan hari ini selepas berita beliau nazak mula tersebar petang semalam.

Penyanyi yang popular dengan lagu Apa Dah Jadi dan Pantun Budi itu mula dilawati sanak-saudara, rakan artis dan ahli persatuan industri bermula awal pagi tadi.

Antaranya yang kelihatan ialah penerbit dan pelakon, Raja Azmi selain kunjungan peribadi pihak media.

Perkembangan kesihatan SM Salim, 88, itu turut dikongsi oleh salah seorang cucu saudaranya menerusi kiriman pesanan Whatsapp kepada pihak media.

“Salam semua.. Ketika ini keadaan Tan Sri masih sama. Sekarang bernafas menggunakan bantuan oksigen.

“Sebentar tadi beliau didatangi beberapa persatuan hiburan iaitu Seniman, Karyawan FDAM, Finas juga ada,” kata Elyanna Ali.

Sejak malam tadi, sebaik berita beliau nazak tersebar, penyanyi itu dilawati sanak-saudara dan teman artis.

Antara yang menziarahi SM Salim hingga lewat malam adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Acis, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Ramli MS dan Fauziah Nawi.

Bercakap kepada media malam tadi, anak keenamnya, Shamsul Salim berkata, bapanya dilihat membuka mata kira-kira pukul 8.00 malam sebelum kembali lelap.

Sementara itu, SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros merupakan seniman kedua bergelar Tan Sri selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beliau dianugerahkan pingat Darjah Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena harijadi baginda ke-75 pada 2 Jun 2001.

Karier SM Salim bermula apabila beliau bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara sambilan pada 1957.

Pada masa sama, beliau turut dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu Melayu klasik (tradisional).

Pada tahun 50-an, dia menganggotai kumpulan Irama Melayu (pimpinan Awalaudin) sebelum menyertai Orkestra Puspati (diketuai mendiang Alfonso Soliano).

P. Ramlee adalah antara orang yang banyak mempengaruhi kerjayanya sebagai anak seni.

Penyanyi bersuara emas, Datuk Yusni Hamid pula adalah orang yang kerap berduet dengannya.

Namun SM Salim pernah berduet dengan Datuk M.Nasir, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Abidin selain bersama penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Pandang Pandang, Jeling Jeling.

SM Salim turut dianugerahkan pingat Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) oleh Sultan Selangor dan Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Kehormat (DPMT) dari Sultan Terengganu. Kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Pada 1991, beliau dianugerahkan Tokoh Seni oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Anugerah Seri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1997.

Bapa kepada tujuh anak itu diberikan Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berdasarkan sumbangan beliau yang memperjuangkan lagu-lagu asli Melayu pada tahun 2013. – MalaysiaGazette