Yusuf HM Hanif

MANZAIDI MOHD AMIN

PETALING JAYA – UMNO Bahagian Kelana Jaya akan mengemukakan cadangan penggunaan telaga tiub di kawasan yang kritikal kepada Kerajaan Persekutuan sebagai usaha mengatasi masalah ketiadaan bekalan air di Selangor.

Ketuanya, Datuk Yusuf HM Hanif berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor didapati gagal menangani masalah itu sehingga berlarutan sepanjang tahun, sekali gus mengundang masalah kepada penduduk.

“Saya minta Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar meluluskan peruntukan bagi penggunaan telaga tiub dan dipercayai kosnya tidak besar.

“Sebenarnya kerajaan Selangor boleh menggunakan alternatif ini bagi mengatasi masalah itu, tetapi mereka tidak berusaha ke arah itu, melainkan lebih seronok berpolitik daripada menjaga kepentingan rakyat,” katanya kepada media di pejabatnya di sini, semalam.

Minggu lalu, kira-kira empat juta penduduk di sekitar Selangor tidak mendapat bekalan air antara dua hingga empat hari berikutan kerja penyelenggaraan pencawangan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain penyelenggaraan pencawangan elektrik, bekalan air juga sering terputus akibat kegagalan kerajaan negeri membina loji rawatan air yang mencukupi.

Jelas Yusuf, pihaknya melihat penggunaan telaga tiub sebagai alternatif terbaik untuk membekalkan sumber air kepada penduduk terutama ketika berdepan dengan masalah itu.

“Kita menunggu-nunggu apakah tindakan atau langkah penyelesaian diambil oleh kerajaan negeri berhubung masalah air yang berlarutan sejak sekian lama ini.

“Jadi sudah tiba masanya isu air ini dimuktamadkan dan UMNO Bahagian Kelana Jaya minta campur tangan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan telaga tiub dibina di kawasan tertentu.

Beliau memberi contoh, kajian pakar di Sarawak yang membina telaga tiub di kawasan sekolah ketika ketiadaan bekalan air dapat menyelesaikan masalah itu. – MalaysiaGazette