Ir. Izham Hashim

KUALA LUMPUR – Tuduh menuduh antara Pas dengan Parti Amanah Negara (PAN) berhubung ‘curi’ kerusi untuk pertandingan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), belum ada penghujung.

Hari ini, Pengerusi PAN Selangor, Ir. Izham Hashim tampil dengan kenyataan media menasihatkan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad cermin diri terlebih dahulu sebelum menuduh PAN mahu mencuri kerusi.

Lebih parah, beliau mengumpamakan Iskandar seperti orang yang tinggal dalam perigi buta, seperti tidak tahu apa-apa mengenai perkembangan semasa.

“Saya nasihatkan dia (Iskandar) cermin diri sendiri dulu sebelum tuduh PAN mahu curi kerusi yang ditandingi PKR, sedangkan urusan pembahagian kerusi pilihan raya antara parti Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan diputuskan melalui rundingan.

“Jangan jadi macam orang yang tinggal dalam perigi buta, tidak tahu apa-apa perkembangan,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Iskandar yang juga Naib Presiden Pas berhubung kerusi yang akan ditandingi PAN adalah kawasan yang dimenangi PKR dan Pas pada PRU 13 lalu.

Izham turut mengingatkan Iskandar bahawa PAN kini berada dalam PH dan mempunyai hak untuk bertanding di semua kerusi ditandingi Pas serta bersedia walaupun tiga penjuru.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sama ada menjadi kenyataan atau tidak jumlah 40 kerusi yang disasarkan itu bergantung kepada keputusan yang bakal dicapai pada perbincangan dalam PH dan PPBM nanti.

“Mungkin juga berlaku pertukaran kerusi sesama kami. Ini semua tertakluk kepada perubahan landskap politik di kawasan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette