Abu remaja Rohingya yang bekerja untuk menyara kehidupan keluarganya.

KUALA LUMPUR – Peribahasa hujan emas di negeri orang memang bermakna kepada seorang remaja yang bernama Abu, seorang pelarian Rohingya di Malaysia.

Remaja yang baru berusia 16 tahun ini tetapi sudah membanting tulang ketika kebanyakan remaja di Malaysia masih menuntut ilmu.

Abu melihat ketuanya, Ah Soo yang sedang memeriksa tayar yang dipasang olehnya.
Abu melihat ketuanya, Ah Soo yang sedang memeriksa tayar yang dipasang olehnya.

Sudah dua tahun beliau bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai tayar di Taman Permai, Ampang, Abu enggan lagi balik ke kampung halamannya.

Pemegang kad UNCHR itu mengakui sungguh bertuah kerana berada di bumi Malaysia yang aman, tidak seperti Rakhine yang kacau-bilau.

Malaysia, kata Abu, sebuah negara selamat walaupun ada pelbagai kaum.

Mampu bertutur bahasa Malaysia dengan baik, Abu mengakui setiap hari mengikuti kisah saudara-maranya di Rakhine.

“Saya masih mempunyai saudara-mara di sana, ada makcik, pakcik dan nenek saudara. Kami pernah bercakap melalui telefon sahaja.

“Tetapi sekarang saya ikuti melalui Internet sahaja. Memang kehidupan mereka menyedihkan dan kami hanya mampu berdoa sahaja semoga mereka selamat dan dapat berjumpa suatu hari nanti,” tambahnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan kisahnya di Malaysia, Abu berkata, dia tidak merancang untuk belajar sebaliknya mahu bekerja keras bagi memperbaiki kehidupannya di sini.

Katanya, bapanya yang mencari barangan terpakai manakala ibunya membantu di pasar bagi menyara kehidupan mereka lima beranak.

Dengan gaji RM900 sebulan, Abu mengakui ia sudah cukup baik kerana mereka hidup ala kadar sahaja di sebuah bilik sewa di Ampang.

Meskipun begitu, remaja ini menaruh harapan bergelar ‘tauke’ suatu hari nanti dan memiliki bengkel kereta sendiri.

“Mula-mula susah juga, selalu kena marah dengan ketua. Tetapi sekarang saya boleh menukar tayar, membuka brek pad, servis enjin walaupun dipantau oleh ketua.

“Apapun saya seronok dengan perkembangan diri saya. Terima kasih Malaysia, orang Malaysia baik. Saya pun tidak sangka boleh buat kerja-kerja macam ini,” ujar Abu. – MalaysiaGazette