Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Pas Selangor sudah bersiap sedia menghadapi pertandingan dua atau tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, jentera pilihan raya Pas telah bersedia menghadapi apa sahaja landskap politik di negeri itu, terutama ketika hubungan baiknya dengan PKR mula menampakkan tanda tidak mesra.

“Jika ada persetujuan untuk dua penjuru, Pas boleh menghormatinya. Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku free for all . Pas bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Iskandar yang juga anggota Exco kerajaan Selangor berkata, jika berlaku keretakan yang sukar diperbetulkan, Pas tidak gentar kerana jenteranya berupaya dikerah menghadapi sebarang kemungkinan itu.

“Sama-sama kita menanggung akibatnya. Kami tidak ada masalah jika Parti Amanah Negara (PAN) hendak bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi Pas atau pernah ditandingi oleh Pas.

“Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Tetapi kalau betul hendak menggantikan Pas, silakan bertanding melawan Pas.

“Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan Pas kerana tidak berani berhadapan dengan Pas. Kami tunggu,” katanya.

Selain menolak kehadiran PAN, hubungan Pas dengan PKR juga dilihat mula berantakan apabila Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegur rakan gabungannya itu supaya perlu jujur dalam persahabatan.

Naib Presiden Pas itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan sikap tidak setia PKR yang suka bercakap berbeza ketika bersama atau di belakang parti itu.

“Depan cakap lain, di belakang cakap lain mengenai Pas,” kata Mohd Amar.

Sejak Pas membuat keputusan untuk ‘bersendirian’, hubungan kerjasama parti itu dengan PKR mula longgar. – MalaysiaGazette