KUALA LUMPUR – Rocker terkenal, Awie dianugerahkan darjah kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, hari ini.

Anugerah tersebut diterima oleh vokalis Wings itu daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Abu Bakar sempena sambutan Ulangtahun ke-86 Keputeraan Baginda.

Kelibat Awie yang juga pelakon di Istana Pahang, Jalan Chulan Kuala Lumpur telah mencuri perhatian tetamu yang hadir.

Awie dilihat beratur menunggu giliran dalam kalangan 200 penerima pada sesi petang. Antaranya yang menerima anugerah sama adalah Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin yang juga merupakan editor hiburan.

Beberapa rakan artis mula memberi ucapan tahniah kepada Awie di laman sosial.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mula membabitkan diri dalam dunia seni pada usia 17 tahun.

Ketika itu, Awie bekerja di Panggung Aniversary, Kuala Lumpur yang membolehkan bapa kepada lima anak ini mendampingi beberapa selebriti popular seperti kumpulan SearchBloodshedElla & The Boys dan Sweet Charity.

Wings adalah kumpulan yang dianggotai Awie sebagai penyanyi utama sebelum bergerak secara solo. Awie kemudiannya memperkembangkan bakatnya dalam bidang lakonan dan dia berjaya mencipta nama dalam kedua-dua bidang.

Awie kemudiannya mengambil langkah untuk membentuk kariernya sebagai penyanyi solo. Album solo pertama Awie yg berjudul Awie diedakan pada tahun 1994 telah terjual sebanyak 220,000 unit.

Kejayaan itu menjadikan Awie sebagai pemegang rekod penjualan tertinggi pada satu album oleh penyanyi lelaki di Malaysia. – MalaysiaGazette