Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin mencatat sejarah dalam bidang kewartawanan negara apabila menjadi wartawan wanita Melayu pertama menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk, ketika masih aktif bertugas.

Tengku Khalidah, 42, yang juga wartawan di Kumpulan Utusan adalah antara penerima Darjah Indera Mahkota Pahang(DIMP) sempena sambutan Ulangtahun ke-86 Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang berlangsung di Istana Pahang, Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Pentas Dunia ketika menunggu keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1993, beliau kemudiannya berpindah ke Akhbar Harian Watan dan bertugas selama 2 tahun, sebelum beralih ke syarikat akhbar ulung dalam negara, Kumpulan Utusan pada April 1996.

Jawatan terkini beliau di Kumpulan Utusan adalah Editor Hiburan di Mingguan Malaysia yang merupakan akhbar nasional ypaling tinggi edaran dalam negara ketika ini.

“Saya menjunjung kasih kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah diatas penganugerahan yang akan menjadi kenangan paling indah dan pencapaian peribadi paling membanggakan dalam kehidupan saya ini.

“Sesungguhnya, pencapaian ini adalah tanda aras tertinggi buat wartawan wanita. Lebih membuatkan saya rasa terharu, bagi pihak wartawan hiburan, pengiktirafan ini sebagai satu penghormatan buat kerjaya kami yang sememangnya amat dekat dalam membantu perkembangan bidang kesenian, perfileman dan seni kreatif dalam negara,” katanya.

Selain aktif menulis berkenaan bidang kesenian dalam negara, anak pertama dalam empat adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini merupakan seorang yang cukup aktif dalam bidang deklamator puisi di peringkat kebangsaan.

Semenjak zaman persekolahan, graduan Ijazah Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) ini antara pelajar sekolah yang telah bersaing di pentas Sayembara Puisi Kebangsaan mewakili Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam bidang tersebut, Tengku Khalidah mencatat sejarah sebagai deklamator puisi pertama dalam negara yang diberi peluang menyampaikan puisi di pentas paling berprestij Istana Budaya dengan menggunakan teknologi ‘black ghauze’ yang diiimport khas dari Singapura dengan harga mencecah RM100,000.

Beliau ketika itu mendeklamasikan puisi khas dalam acara “Konsert Diraja- Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada” di hadapan KDYMM Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.

Selain itu juga, Tengku Khalidah merupakan Juara Pengacara Jemputan NONA 1998, beberapa tahun selepas Puan Sri Normala Shamsuddin menyandang gelaran yang sama dalam program anjuran TV3 itu. – MalaysiaGazette