Muhamad Farkhan Mohd. Haron mencatatkan kebanggaan negara apabila merangkul tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia bagi kategori light heavyweight pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC), malam tadi.

Kemenangan Farkhan yang berusia 26 tahun itu diumumkan di laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers.

Anak kelahiran Johor itu menewaskan Sheikh Kaseba dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan keempat dan menang menerusi pukulan TKO selepas menundukkan Sheikh dalam masa dua minit dan 36 saat.

Tali pinggang kemenangannya diserahkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Muhamad Farkhan memperoleh kemenangan sulung WBC Asia di Singapura, Julai lalu.

JIBC turut menghimpunkan lima pertarungan membabitkan 10 petinju dari seluruh dunia bagi merebut gelaran. – MalaysiaGazette