AMLA MACC Senior Enforcer US$6.94 million MEIO Hasanah case item Eric Chang 4 years old boy murder

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini didakwa di dua buah Mahkamah Majistret, hari ini dihadapkan pula di Mahkamah Majistret Selayang berhubung kes menipu pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan curang menipu dan memperdaya Pauziah Ab Ghani, 61, dengan menawarkan pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah, Arab Saudi, yang sebenarnya tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM70,000 ke dalam akaun Bank Islam tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 1 Jalan SG 7/10, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, dekat sini, pukul 1.10 tengah hari, pada 13 Jun 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad, tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA).

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dibenarkan ikat jamin dengan alasan dia sudah direman selama 90 hari.

ajistret Iriane Isabelo membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah. Beliau menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes.

Semalam, Sheikh Saidey mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan yang sama melibatkan jumlah RM324,300.

Pada Selasa lepas, Sheikh Saidey juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, atas dua pertuduhan berhubung penipuan pelaburan program Islamic Hotel di Makkah dan Madinah, manakala isterinya Sofia Affendi, 42, didakwa bersubahat dengan suaminya atas kedua-dua pertuduhan itu.

— BERNAMA