Shahrir Samad

KUALA LUMPUR- Dakwaan Felda Global Ventures Holdings (FGV) akan mengalami kerugian kira-kira RM7 bilion jika menarik diri dari Bursa Malaysia hanya spekulasi Rafizi Ramli.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Samad berkata, angka itu sekadar kajian Ahli Parlimen Pandan kerana sebarang keputusan rasmi mengenainya masih belum ditentukan.

“Itu spekulatif. Dia (Rafizi) membuat spekulasi bukan ikut matematik yang sebenar,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan derma Kelab Penyokong Barisan Nasional kepada Tabung Pahlawan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Rafizi mengenai kemungkinan FGV mengalami kerugian teruk sekiranya bertindak keluar dari Bursa Malaysia dan menjadi syarikat persendirian baru-baru ini.

Menurut Shahrir, sebagai pemegang saham utama dalam FGV sudah tentu FELDA mahu membuat keuntungan.

“Sudah semestinya sebagai pemegang saham utama FELDA hendak lihat mahu melihat FGV ‘perform’.

“Sudah pasti itu keutamaan dan kita lihat apa kita boleh buat dengan segala opsyen yang ada,” katanya lagi.

FELDA mempunyai 20 peratus saham dalam FGV.

Sementara itu, Lembaga Pengarah FGV dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa tidak ada perbincangan untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, pengumuman itu dibuat selepas membuat beberapa pertanyaan dengan FELDA yang merupakan pemegang saham utama.

“FGV dimaklumkan tidak ada perbincangan mengenai urusan itu di peringkat lembaga pengarah. FGV juga tidak menerima sebarang cadangan daripada pemegang saham yang lain mengenai perkara yang sama,” kata FGV. – MalaysiaGazette