Salahudin Ayub

Ketiadaan wakil Pas semasa pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin bukti parti itu kini bersama Barisan Nasional (BN) bukan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahudin Ayub berkata, senario yang berlaku bakal memberi petunjuk kepada rakyat dengan siapa Pas sebenarnya walaupun parti itu menafikannya.

“Ini (perasmian PPBM) satu perhimpunan menunjukkan siapa sebenarnya bersama PH dan PPBM. Rakyat akan menilai mereka
pro PH atau pro BN,” ujarnya baru-baru ini.

Salahudin berkata demikian mengulas ketidakhadiran pimpinan utama Pas termasuk Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad ke majlis berkenaan walaupun dijemput.

Sementara itu, Iskandar dalam reaksinya semalam memberitahu, apa guna wakil Pas hadir pada majlis itu sekiranya menadah telinga mendengar Pas dikecam dan diejek-ejek.

Beliau berkata demikian mengulas kecaman terbuka Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Pas semasa menyampaikan ucapannya pada majlis yang sama.

Nampaknya, hubungan Pas dengan PPBM yang baik kini semakin pudar dan hasrat membawa parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang semula ke pangkuan pakatan pembangkang.

Ia seterusnya gagal untuk merealisasikan perlawanan satu sama satu dengan BN tidak tercapai pada pilihan raya umum kelak.

Mungkin Pas masih berbaik dengan PKR dalam PH namun ia dilihat dalam konteks mereka masih bersama menerajui kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, Pas sehingga kini menafikan mereka bersama dengan BN atau UMNO khususnya tetapi kerjasama hanya dilakukan berkaitan dengan isu-isu agama Islam sahaja.-MalaysiaGazette