Keratan akhbar yang menunjukkan kaedah berlakunya "penyeluk saku digital"

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia menafikan laporan berhubung ‘penyeluk saku elektronik’ yang melibatkan kad tanpa sentuhan yang dilaporkan sesetengah media.

Dalam satu kenyataannya di laman facebook rasmi bank pusat itu, Bank Negara berkata, kad tanpa sentuhan telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Ini termasuk cip pada kad yang menjana kod dinamik bagi setiap transaksi dan maklumat penting pada kad tidak boleh diambil dengan cara electronic pick-pocketing.

Bagi transaksi dalam talian pula, pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan urus niaga (transaction authorisation code, TAC) yang dihantar ke telefon mudah alih mereka.

“Dengan adanya ciri-ciri keselamatan tersebut, kad berkenaan tidak boleh diklon atau digunakan oleh individu tertentu untuk transaksi yang tidk dibenarkan.

“Pemegang kad dinasihati untuk melindungi kad pembayaran dan PIN mereka pada setiap masa.

“Pemegang kad perlu memaklumkan kepada bank pengeluar kad dengan segera sekiranya kad pembayaran mereka hilang atau dicuri atau PIN mereka terdedah atau mereka menyedari apa-apa transaksi yang tidak dibenarkan menggunakan kad mereka,” katanya di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar menyiarkan kononnya penyeluk saku digital boleh mencuri data kad bank dengan mendekatkan telefon pintar yang telah dimuat turun dengan aplikasi tertentu dengan kad bank pada jarak sejauh satu meter.

Penyeluk saku digital juga boleh menggunakan alat pembaca gelombang radio untuk mencuri data kad bank dengan mendekatkan telefon bimbit dengan kad bank pada jarak sejauh lima meter.

Alat pembaca gelombang radio boleh menyimpan transaksi sekitar RM 300 sehingga RM 1,500  tanpa memerlukan sebarang jaringan Internet.

Bagi pengguna kad bank bercirikan paywave, mereka kononnya boleh membalut kad tersebut dengan kertas aluminium bagi mengelakkan gelombang radio terpancar.- MalaysiaGazette