Home Ekonomi Mahkamah NZ lulus Jho Low lantik pemegang amanah baharu

Mahkamah NZ lulus Jho Low lantik pemegang amanah baharu

WELLINGTON – Mahkamah New Zealand hari ini meluluskan permohonan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) untuk melantik pemegang amanah baharu bagi mengelak berlaku rampasan aset oleh Kerajaan Amerika Syarikat dalam siasatan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jho Low dan keluarganya berpotensi kehilangan aset-aset bernilai AS$260 juta di New Zeland selepas kerajaan Amerika Syarikat merampas aset-asetnya dalam prosiding mahkamah di California.

Aset-aset itu termasuk pesawat, hartanah di New York dan Viceroy L’Ermitage Hotel di Beverly Hills.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi New Zealand bersetuju dengan permintaan ahli keluarga Jho Low untuk menggantikan pemegang amanah Switzerland dengan syarikat-syarikat perkhidmatan amanah New Zealand dan Kepulauan Cayman.

“Saya berpuas hati bahawa penggantian pemegang amanah semasa dengan pemegang amanah yang sanggup memastikan langkah-langkah undang-undang yang betul diambil dalam prosiding di California untuk melindungi aset amanah,” kata Hakim Christopher Toogood dalam penghakimannya.

Menurut rekod mahkamah, pemegang amanah Switzerland tidak mengambil apa-apa langkah untuk menghentikan penyitaan harta yang akan dianggap pengubahan wang haram oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Pemegang amanah Switzerland tidak menentang penggantian.

Peguam keluarga Low, Michael Kyriak, enggan mengulas mengenai keputusan itu.

Jho Low adalah antara individu yang dinamakan dalam tindakan undang-undang sivil yang difailkan pada Julai tahun lalu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang mendakwa lebih daripada AS$3.5 bilion telah disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Tindakan undang-undang berusaha untuk mendapatkan semula sejumlah aset bernilai AS$1 bilion yang didakwa disalurkan dari 1MDB dan dialihkan bagi pembelian lukisan, jet peribadi dan hartanah mewah di Amerika Syarikat dan London.

Hakim Toogood berkata, Mahkamah New Zealand tidak mempunyai pandangan mengenai merit dakwaan Kerajaan Amerika Syarikat.

New Zealand telah lama menawarkan rejim amanah dengan pengurusan kekayaan perniagaan luar pesisir kerana pemegang amanah asing adalah rahsia dan tidak tertakluk kepada cukai.

New Zealand pada Julai berkata ia akan memperkenalkan pendaftaran amanah asing yang boleh menggunakan cukai dan penguatkuasaan undang-undang agensi-agensi untuk menyiasat dakwaan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai. – MalaysiaGazette