KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengukuhkan kedudukannya di Pakistan dengan terminal tangki pelbagai guna dan kemudahan gudang yang moden untuk menyokong operasi terminal kargo cecairnya (LCT) di negara itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad berkata anak syarikat FGV di Pakistan, FWQ Enterprises (Private) Ltd (FWQ), membina terminal 30,000 tan untuk mengendali dan menyimpan produk cecair seperti etanol, molases, minyak makan dan produk berkaitan yang lain.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada edisi kedua Pakistan Edible Oil Conference di Karachi hari Sabtu.

FGV mempunyai 65 peratus pegangan dalam FWQ dan bakinya dipegang oleh Westbury Group.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha FGV untuk meraih bahagian pasaran yang lebih besar di Pakistan, India dan Timur Tengah.

“Usaha ini juga akan memastikan pulangan jangka panjang kepada pemegang saham kami,” katanya.

Zakaria berkata tangki simpanan 15,000 tan yang pertama telah dipasang pada Jun 2016 dan baki 15,000 tan akan siap pada 2017, dengan potensi meningkat kepada 38,300 tan untuk memenuhi permintaan pada masa akan datang.

“Terminal itu dijangka menelan kos sebanyak 326 juta rupee Pakistan (RM13 juta) dan akan dibiayai melalui sumber dalaman,” katanya.

Pada masa ini, FGV memiliki dan mengendalikan terminal minyak makan terbesar di dunia dengan jumlah kapasiti sebanyak 865,000 tan.

Sebaik beroperasi sepenuhnya, kemudahan simpanan pukal di Port Qasim akan meningkatkan kemudahan sedia ada FGV di Malaysia dan Indonesia kepada 900,000 tan yang akan mengukuhkan kedudukannya di peringkat global, meluaskan rangkaiannya selain meningkatkan keseluruhan rantaian nilainya, kata Zakaria.

Beliau berkata selain terminal itu, FWQ juga merancang untuk membina kemudahan gudang moden baharu di kawasan seluas 2.023 hektar yang akan dibeli di sekitar Post Qasim dengan anggaran kos 300 juta Pakistan rupee (RM12 juta).

“Kedua-dua projek ini akan dibiayai dana dalaman dan kami yakin ia memberi pulangan yang memberangsangkan susulan permintaan kukuh di Port Qasim,” katanya.

Zakaria berkata dengan semua projek usaha sama semasa yang beroperasi secara menguntungkan setakat ini, FGV kini mencari perkongsian strategik baharu untuk faedah bersama semua pihak.

Sementara itu, Terminal Kargo Cecair (LCT) di Port Qasim mengendalikan kapal sehingga 35,000 tanan berat muatan (DWT) dan ia satu-satunya LCT untuk kapal minyak makan.

Setakat ini, LCT tersebut telah mengendalikan lebih 1,000 kapal dan kira-kira 15.6 juta tan minyak makan dari Mac 2009 hingga sekarang tanpa sebarang kos bayaran kelewatan sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai antara jeti paling cekap di Pakistan.

— BERNAMA