Pemandangan Kampung Tiong hari ini yang dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 11,748 orang melibatkan 3,255 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 9,220 orang daripada 2,587 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, semua mangsa banjir kini ditempatkan di 65 pusat pemindahan di tujuh jajahan di negeri itu.

Daripada jumlah itu, 5,109 orang (1,334 keluarga) ditempatkan di 24 buah pusat pemindahan di Kota Bharu manakala 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh menempatkan 2,507 orang daripada 678 keluarga.

Sementara itu, menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kekal 10.11 meter setakat 8 pagi ini dengan paras sama turut direkodkan pada 8 malam tadi.

Paras bahaya bagi sungai itu ialah 9.0 meter.

Di Terengganu, setakat 8.30 pagi ini, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di empat daerah terjejas bencana adalah sebanyak 4,136 orang merangkumi 1,191 keluarga berbanding 3,835 orang daripada 1,097 keluarga malam tadi.

Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat kesemua mereka ditempatkan di 83 pusat pemindahan. – MalaysiaGazette