Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan mengkaji kemungkinan untuk mengambil alih Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) daripada Jabatan Perdana Menteri supaya lebih berkesan dalam pengurusan pengangkutan awam.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau tidak berkeras supaya SPAD dipindahkan kepeda kementeriannya, tetapi berpendapat pemindahan tersebut akan meningkatkan keberkesanan pengurusan.
Beliau berkata, ramai pihak turut menyalahkan Kementerian Pengangkutan kerana tidak faham mengenai pengurusan pengangkutan awam.
“Banyak isu pengangkutan awam akan membabitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan, ini termasuk soal Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura.
“Ramai yang bertanya tentang kos projek ini, tetapi soal ini adalah terletak di bawah kementerian Kewangan dan EPU,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
Menurut Tiong Liow, beliau secara peribadinya bersetuju supaya SPAD diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi undang-undang meletakkan suruhanjaya itu di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Bukan mudah untuk memindahkan SPAD ke Kementerian Pengangkutan kerana ia membabitkan pindaan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette