KUALA LUMPUR-  Kedutaan Amerika Syarikat sekali lagi menegaskan Malaysia tidak termasuk di dalam senarai larangan perjalanan yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump.

Dalam satu kenyataan rasminya, kedutaan menegaskan, rakyat Malaysia boleh terus melawat Amerika Syarikat asalkan mempunyai visa yang sah.

“Arahan Eksekutif yang dikeluarkan minggu lalu tidak menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang dilarang memasuki Amerika Syarikat.

Justeru rakyat Malaysia boleh datang ke Amerika Syarikat asalkan mempunyai visa yang sah,” katanya yang mengulas laporan sebuah portal tempatan yang mengatakan Malaysia kini merupakan salah sebuah daripada 20 buah negara yang dilarang memasuki Amerika Syarikat.

Portal berbahasa Inggeris itu memetik tweet daripada wartawan Mic.com Jack Smith IV yang mengatakan seorang rakyat Malaysia merupakan salah seorang daripada 71 yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy.- MalaysiaGazette