Iskandar Rahmat (kanan)

SINGAPURA – Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas anggota polis, Iskandar Rahmat selepas beliau didapati bersalah membunuh dua beranak pada Julai 2013.

Kedua-dua mangsa, Tan Boon Sin, 67 dan anak lelakinya, Chee Heong, 42, mati akibat ditikam.

Namun pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh tidak ditemui.

Iskandar, 37, yang didapati bersalah telah dihukum mati pada 4 Disember, 2015.

Hakim Tay Yong Kwang berkata, beliau tidak syak lagi bekas anggota polis yang muflis dan dipecat sebagai anggota polis membunuh Tan untuk mendapatkan wang.

Apabila anak Tan tiba di rumah semasa kejadian dan menyaksikan pembunuhan bapanya, ia mengakibatkan ‘kebinasaan”, kata Hakim Tay.

Bapa dan anak meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman di bahagian muka, leher dan dada.

Tan mati di pangkuan Iskandar manakala anak lelakinya yang dalam keadaan terhoyong-hayang berjaya melarikan ke luar rumah sebelum rebah di belakang kereta tertuduh di 14J Hillside Drive.

Mayatnya kemudian terperangkap di bawah kereta dan diseret hampir satu kilometer sebelum dikeluarkan keluar di hadapan perhentian bas di stesen MRT Kovan, menyebabkan orang awam terkejut.

Pada rayuannya Oktober lalu, Iskandar memohon mahkamah mengambil kira bukti baru yang termasuk laporan psikiatri.

Laporan itu menyatakan Iskandar telah disahkan menghidap penyakit mental pada masa pembunuhan – gangguan pelarasan dan tindak balas tekanan akut.

Terdapat juga laporan patologi forensik yang berkata, Iskandar mengalami kecederaan kerana mempertahankan diri dan Iskandar telah merampas pisau daripada tangan Tan dan membunuhnya untuk pertahankan diri.

Walau bagaimanapun, pendakwa berhujah bahawa laporan itu tidak boleh dipercayai kerana ia dibentangkan selepas tiga tahun kejadian pembunuhan dan lebih daripada lapan bulan selepas Iskandar telah dihukum gantung. – MalaysiaGazette