Persembahan tarian singa sempena sambutan rumah terbuka MCA Tahun Baru Cina 2017 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 28 JANUARI 2017.
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa satu pasukan tarian singa mensabotaj persembahan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak benar sama sekali.

Sinchew Daily melaporkan, ketua jurulatih pasukan tarian singa itu melakukan penafian tersebut selepas satu klip video yang mendakwa anggota pasukannya mensabotaj persembahan di hadapan Najib tersebar melalui Internet.

Yang Ying Quan berkata, persembahan di Menara PGRM di Kuala Lumpur sempena Tahun Baharu Cina itu memuatkan babak mengupas limau mandarin dan limau bali di hadapan Perdana Menteri.

Jelasnya, disebabkan kekangan masa, persembahan mengupas limau yang biasanya mengambil masa selama lima hingga 10 minit itu terpaksa dipendekkan kepada hanya satu minit.

Malangnya sesetengah pihak telah mentafsirkan keadaan itu sebagai keengganan pasukan singa melakukan persembahan di hadapan Perdana Menteri.

Sesetengah pihak juga mendakwa bahawa pasukan singa berkenaan sedang melakukan tunjuk perasaan terhadap Najib apabila membuat persembahan secara serba ringkas.

Kesal dengan apa yang berlaku, Ying Quan berharap aktiviti tarian singa tidak dikaitkan dengan politik. – MalaysiaGazette