Larangan tujuh buah negara oleh Donald Trump mencetuskan huru-hara. Foto AP

WASHINGTON – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah membuat rayuan membantah keputusan Hakim Persekutuan Seattle yang menggantung larangan tujuh buah negara memasuki negara itu.

Larangan itu dibuat oleh Presiden Donald Trump.

Perintah eksekutif  itu ditandatangani oleh Trump pada minggu lalu telah mencetuskan bantahan besar-besaran dan di lapangan terbang Amerika Syarikat.

Semalam, Hakim Seattle telah mengenepikan sementara larangan yang dikenakan kepada tujuh buah negara.

Tujuh buah negara itu ialah Iran, Iraq, Syria, Yemen, Libya, Sudan dan Somalia.

Hakim Persekutuan James Robart mengeluarkan perintah terhadap tuntutan peguam kerajaan bahawa negeri-negeri Amerika Syarikat tidak mempunyai kedudukan untuk mencabar perintah eksekutif Trump.

Serentak dengan itu, pihak kastam telah mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat bahawa mereka boleh meneruskan kemasukan warga ketujuh-tujuh negara terbabit sehingga kes didengar. – MalaysiaGazette