Pengerusi La Kaaffa International CO. LTD. Hanry Wang bercakap pada sidang media di Hotel Double Tree, The Intermark, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pemilik jenama minuman Chatime, La Kaffa International (La Kaffa) menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan penggunaan bahan mentah yang digunakan dalam produk keluarannya.

Pengerusinya, Henry Wang berkata, ini kerana bahan mentah yang digunakan itu memiliki sijil halal yang diiktiraf oleh pihak bertauliah di Taiwan.

Bagaimanapun beliau tidak pasti dengan bahan mentah yang digunakan oleh bekas pemegang francaisnya bagi pasaran Malaysia, Loob Holding Sdn. Bhd. (Loob Holding) sama ada halal atau pun tidak.

“Loob Holding menggunakan bahan mentah tidak diluluskan seperti serbuk teh dan koko yang telah melanggar kontrak pemegang francais apabila menggunakan bekalan bahan mentah berbeza daripada resipi asal tanpa menerima kelulusan daripada La Kaffa.

“Kami mengesan perkara itu sejak setahun yang lalu apabila mereka tidak lagi membuat pesanan bahan mentah kepada kami.

“Sebagai jenama satu jenama global, kami amat mementingkan produk keluaran kami sentiasa berada tahap kualiti yang tinggi kerana ia perlu melalui proses kawalan kualiti ketat dan mematuhi peraturan syarikat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kontroversi isu La Kaffa dan Loob Holding bermula bulan lalu apabila bekas pemegang francaisnya itu mengumumkan untuk menjenamakan semula 165 cawangan Chatimenya di Malaysia sebelum 6 Mac.

Ia berikutan tindakan La Kaffa menamatkan perjanjian francaisnya pada 5 Januari lalu.

Perjanjian Loob Holdings dan La Kaffa sepatutnya berakhir pada tahun 2041 namun telah ditamatkan awal kerana terdapat perbezaan pendapat antara firma Taiwan itu dengan hala tuju perniagaan Chatime di Malaysia.

Sebanyak 165 cawangan Chatime di Malaysia menyumbang lebih daripada separuh perolehan keseluruhan francais La Kaffa daripada 800 cawangan antarabangsanya di seluruh dunia.

Menurut Henry lagi, keutamaan pihaknya adalah untuk melindungi kepentingan dan francaisi Chatime, serta hak pekerja dan pengguna jenama tersebut di Malaysia.

“La Kaffa memutuskan untuk melan­tik pasukan undang-undang global untuk mengendalikan proses perbalahan ini.

“La Kaffa akan terus menyokong ekuiti pengguna Chatime di Malaysia melalui sub francais kerana kami yakin Malaysia adalah negara yang mempunyai tahap undang-undang tinggi dan komited terhadap integriti komersial,” katanya. – MalaysiaGazette