Mahkamah Rayuan Pusat AS hari ini akan mendengar hujah sama ada meneruskan penangguhan larangan penumpang negara Islam kembali ke AS. Foto: Reuters

WASHINGTON – Mahkamah Rayuan Pusat Amerika Syarikat (AS) pada Selasa akan mendengar hujah-hujah berhubung sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Mahkamah dijangka mendengar hujah sama ada mahu menangguhkan larangan kemasukan penumpang dan pelarian ke AS atau membenarkan tindakan larangan sementara Trump terhadap imigran dari tujuh buah negara Islam.

Dasar terbaharu yang dikuatkuasakan Trump menggunakan perintah eksekutifnya dianggap dasar paling kontroversi di mata dunia.

Dalam taklimat pada Isnin, jabatan kehakiman di negara kuasa besar dunia itu berkata, penggantungan perintah Trump oleh Hakim Persekutuan AS pada minggu lalu skopnya terlalu luas.

Jabatan itu berpendapat, larangan itu seharusnya dihadkan kepada orang yang dibenarkan masuk ke negara AS dan berada di luar negara.

Jumaat lalu, Hakim Daerah James Robart di Seattle menggantung larangan perjalanan terhadap penumpang dari tujuh negara Islam dan membuka pintu negara semula untuk mereka kembali semula.

Mahkamah menetapkan pendengaran hujah pukul 3 petang pada waktu tempatan hari ini.

Trump dalam mempertahankan tindakannya mendakwa langkah perjalanan itu adalah sebagai melindungi rakyat dan negara daripada ancaman keganasan.

Bagaimanapun pembangkang di negeri itu mendakwa larangan itu adalah tidak sah dan tidak seharusnya dilaksanakan. – MalaysiaGazette