KUALA LUMPUR- DRB-Hicom Bhd. dijangka selesai memilih rakan strategik asing (FSP) Proton Holdings menjelang separuh pertama 2017 atau mungkin lebih awal daripada itu selepas proses bidaan dan penilaian selesai.

Konglomerat itu dalam satu kenyataannya berkata, ia masih menanti bidaan-bidaan daripada rakan kongsi berpotensi Proton Holdings selepas selesai menjalankan due diligence terhadap pengeluar kereta nasional itu beberapa minggu lalu.

“DRB-Hicom kini menanti bidaan-bidaan daripada pelbagai pihak yang berminat dan akan membuat pernilaian selepas menerima bidaan tersebut.

“Dalam mencari FPS terbaik untuk Proton, DRB-Hicom akan menilai tiga kriteria utama iaitu strategik, operasi dan kesesuaian budaya.

“Kesesuaian strategik akan membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada rangkaian teknologi dan produk yang tersedia dan akan melengkapi satu sama lain di dalam pasaran masing-masing,” katanya.

DRB-Hicom menegaskan, FPS kepada Proton adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan pembuat kereta nasional itu.

Tambahnya, prinsip untuk mengekalkan pegangan utama di dalam Proton juga tidak berubah.

“Pencarian FPS bukan untuk mengurangkan tanggung jawab nasional kami tetapi sudah tiba masanya untuk meningkatkan keupayaan Proton dan seterusnya meletakkan mereka dan nama Malaysia di peta dunia,” katanya lagi.

DRB-Hicom juga memaklumkan, mereka turut berhasrat untuk mencari rakan kongsi berpotensi di dalam mengoptimumkan rangkaian vendor tempatan.- MalaysiaGazette