Home Ekonomi Bank Islam peruntuk RM57,000 sumbang buku rujukan kewangan Islam

Bank Islam peruntuk RM57,000 sumbang buku rujukan kewangan Islam

Para pelajar Kolej Universiti Geomatika sedang melihat buku-buku rujukan kewangan Islam yang disumbangkan oleh Bank Islam.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad memperuntukkan dana zakat berjumlah RM57,000.00 bagi pembelian buku-buku rujukan kewangan Islam yang disumbangkan kepada 19 perpustakaan awam seluruh negara.

Buku-buku rujukan itu melibatkan sebanyak 50 buah buku kewangan Islam yang diterbitkan oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Majlis penyerahan buku-buku kewangan Islam ini disempurnakan oleh Khairul Kamarudin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam kepada Datuk Seri Matshah Safuan, Pengerusi Lembaga Penasihat Perpustakaan Kuala Lumpur dan wakil-wakil perpustakaan.

Khairul berkata, penyerahan buku-buku itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempromosikan dan memantapkan pengetahuan mengenai operasi dan asas-asas Syariah dalam sistem kewangan dan perbankan Islam.

Katanya, buku-buku itu juga akan disumbangkan kepada universiti-universiti awam di seluruh negara.

“Melalui program tanggungjawab korporat ini, Bank Islam berharap agar sumbangan buku-buku ini dapat menampung kekurangan bahan bacaan dan rujukan dalam kewangan Islam di perpustakaan-perpustakaan awam.

“Ia juga diharap dapat memberi manfaat dan menyumbang maklumat terperinci kepada para pelajar serta masyarakat keseluruhan mengenai sistem kewangan Syariah,” katanya di sini.

Sebagai institusi patuh Syariah yang sentiasa menitikberatkan kepentingan ilmu, Bank Islam turut memperuntukkkan dana zakat tahun 2016 berjumlah RM704,000 untuk agenda pendidikan.

Sejumlah RM1.4 juta juga turut diperuntukkan untuk Anugerah Imarah Surau Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan, Tabung Pendidikan 1 Billion (TP1B) dan Zakat kepada institusi pengajian tinggi bagi menampung kos pendidikan para pelajar asnaf yang kurang berkemampuan untuk terus menuntut ilmu di menara gading. – MalaysiaGazette