KUALA LUMPUR – Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MMHE) merekodkan kerugiaan lima suku berturut-turut semasa suku keempat berakhir 31 Disember 2016 didorong oleh penyusutan keuntungan operasi.

Ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM119.67 juta berbanding RM27.13 juta tempoh sama tahun lalu manakala perolehan jatuh 57.9 peratus kepada RM303.64 juta berbanding RM721.14 juta sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MMHE berkata, ia mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah sebanyak RM18.7 juta pada suku keempat 2016 berbanding RM50.4 juta setahun lalu.

Bagi keseluruhan tahun, MMHE mencatatkan kerugiaan bersih sebanyak RM134.3 juta berbanding untung bersih sebanyak RM43.89 juta pada tahun kewangan 2015 disebabkan sumbangan yang lebih rendah oleh kejuruteraan berat, kerugian bersih tukaran asing serta impak daripada susut nilai aset pada tahun kewangan semasa.

Perolehan jatuh sebanyak 51.6 peratus kepada RM1.19 bilion berbanding RM2.46 bilion pada tahun kewangan 2015 sementara keuntungan operasi menjunam kepada RM13.1 juta berbanding RM123.7 juta.-MalaysiaGazette