Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Persefahaman (Mou) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diwakili Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali (dua kiri) bersama Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif JPDC, Mohd Yazid Ja'afar (dua kanan) di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 13 FEBRUARI 2017

PUTRAJAYA – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan menjadi institut latihan yang menjalankan latihan kemahiran semula, peningkatan kemahiran dan program boot camp dalam industri hiliran minyak dan gas.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama dengan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) bakal memberi faedah kepada 1,000 peserta terlibat dalam usaha memperbanyakan persijilan profesional yang diiktiraf pihak industri.

Beliau menyifatkan pelaksanaan tersebut menunjukkan gandingan kerajaan dengan syarikat swasta yang mampu memberi peluang cerah kepada generasi masa depan negara.

“Bagi memastikan Malaysia mencapai status sebagai hab industri hiliran minyak dan gas bertaraf dunia, keperluan tenaga mahir amat diperlukan bagi memastikan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas (PIPC) dapat disiapkan mengikut jadual.

“Bagi tempoh tahun 2017 hingga 2018 iaitu fasa puncak pembinaan PIPC, dijangka seramai 60,00 peluang pekerjaan daripada pekerja separuh mahir sehingga golongan professional.

“Ketika fasa operasi PIPC bermula pada tahun 2019, peluang pekerjaan seca terus di loji penapisan dan petrokimia dijangka seramai 8,600 orang.

“Sektor sokongan industri seperti kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih peralatan loji dijangka menawarkan 7,000 peluang pekerjaan.

“Justeru, diharapkan kerjasama ini dapat membuka peluang yang luas buat Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) melahirkan kerja mahir untuk pembangunan PIPC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan bersama JPDC di sini hari ini. – MalaysiaGazette