JEDDAH – Kedai runcit yang menjual barangan buatan Malaysia yang pertama, Kedai Asia telah dibuka di Jeddah, Arab Saudi.

Terletak di kejiranan Al Aziziyah, berhampiran Konsulat Malaysia, Kedai Asia menawakan lebih 300 produk makanan dan minuman buatan Malaysia seperti Adabi, Yeo’s, Kipas Udang, Boh Tea, malah budu, tempoyak, concalok, pekasam dan belacan turut ditawarkan kepada pengguna.

Kedai Asia ditubuhkan oleh Husam Waksa Sdn. Bhd. Ia merupakan usahasama antara Husam Waksa Sdn Bhd and M. Nazeyh Garah Est.

Pembukaan cawangan pertama di Jeddah itu akan disusuli dengan perancangan membuka beberapa kedai lagi di bandar-bandar utama seperti Madinah, Riyadh dan kemungkinan Jubail pada masa depan.

Sejak dibuka, Kedai Asia menerima lebih 2,000 pelanggan, melebihi unjuran syarikat.

Berikutan itu, Pengarah Kedai Asia, Anas Atarek Kamil berkata, pihaknya menerima maklum balas posiitf daripada pelanggan dan ada antaranya menyatakan Kedai Asia berjaya membawa mereka pulang ke Malaysia, lapor Saudi Gazette.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Konsulat Malaysia di Jeddah, Khairul Annuar Abdul Halim meminta Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia yang menerokai industri makanan melihat Kedai Asia sebagai pintu masuk pasaran halal Arab Saudi.