Abdul Mutalib Alias

PETALING JAYA- Perbadanan PR1MA Malaysia cuba menyediakan penyelesaian terbaik bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah sendiri.

Malah mereka juga akan mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, bermula hari ini, PR1MA memperkenalkan pembiayaan akhir khusus yang membolehkan pembeli yang layak untuk membayar ansuran bulanan pinjaman yang lebih rendah berbanding pinjaman biasa menerusi Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF).

Jelas beliau, SPEF adalah pembiayaan step di mana dalam tempoh lima tahun pertama, pembeli hanya perlu membayar faedah sahaja.

Pembayaran prinsipal hanya dibuat pada tahun keenam sehingga pinjaman selesai.

Manakala bagi yang mempunyai Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun masih baharu memulakan pekerjaan boleh memohon skim tersebut di bawah kategori Step Up + Pembiayaan Akaun 2.

Margin pinjaman bagi kategori tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding yang biasa.

Skim tersebut adalah kerjasama antara Bank Negara Malaysia, KWSP, dan empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB dan AmBank.

“Skim terbaharu ini membolehkan para pembeli terutamanya golongan muda yang baharu memulakan pekerja tidak lagi perlu rungsing untuk mendapatkan pembiayaan perumahan.

“Ini mereka layak untuk memohon skim ini dan mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi perbankan yang lain.

Ini pastinya memudahkan mereka untuk membayar deposit perumahan kerana margin pinjaman yang lebih tinggi,” katanya semasa sidang media khas di ibupejabat PR1MA di sini hari ini.

Contohnya, bagi pembeli yang berpendapatan RM3,000 sebulan layak mendapat pinjaman perumahan konvensional sebanyak RM187,000 namun menerusi skim pembiayaan Step Up, pemohon layak mendapat pembiayaan sehingga RM228,600 dan Step Up + Akaun 2 KWSP pula boleh mendapat pembiayaan sehingga RM283,200.

Jelas Abdul Mutalib lagi, skim SPEF menawarkan kadar faedah yang kompetitif iaitu 4.75 peratus.

“Kami mahu menggalakkan pemilikan rumah dan sentiasa mencari jalan supaya ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah sendiri.

“Sekiranya mereka boleh memiliki rumah sendiri yang selesa dengan bayaran ansuran yang sama seperti sewa bulanan, mengapa mesti menyewa.

“Terdapat satu insiden di mana kami mendapati ada pembeli yang tidak mampu membeli rumah kerana margin pinjaman yang ditawarkan oleh bank-bank adalah kecil dan mereka perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi penampung pembelian tersebut, di sinilah idea untuk melancarkan SPEF timbul.

“Kami menawarkan margin pinjaman yang jauh lebih tinggi supaya mereka tidak mempunyai masalah lagi untuk memiliki kediaman sendiri.

“Ditambah pula dengan tempoh morotarium yang dipendekkan kepada lima tahun berbanding 10 tahun sebelum ini, kami yakin matlamat PR1MA mampu dicapai,” katanya lagi.-MalaysiaGazette