Home Nasional Bedah siasat Kim Jong Nam di HKL

Bedah siasat Kim Jong Nam di HKL

KUALA LUMPUR – Van jenazah yang dipercayai membawa jasad Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, beredar dari Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Van putih yang diiringi empat kenderaan polis itu dilihat bergegas keluar dari hospital itu pada 8.55 pagi ini bagi mengelak anggota media yang berkumpul di jabatan forensik hospital itu sejak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali turut dilihat berada di dalam sebuah daripada kenderaan itu.

Wartawan, termasuk media asing, terpinga-pinga apabila van itu meninggalkan hospital secara tiba-tiba.

“Pakar di hospital ini memutuskan bahawa bedah siasat tidak sesuai dilakukan di bilik mayat di sini memandangkan HKL mempunyai lebih banyak kemudahan dan ruang lebih besar,” katanya kepada pemberita.

Pegawai dari Kedutaan Korea Utara atau anggota keluarga lelaki berkenaan tidak kelihatan di bilik mayat itu, yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan hospital.

Polis mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada Isnin ialah Kim Jong-Nam. – MalaysiaGazette