Aksi spontan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar kenangan bersama peserta Belia Selangor selepas Majlis Pelancaran Minggu Belia Selangor 2017 di Sunway Resort, Bandar Sunway, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 FEBRUARI 2017

PETALING JAYA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin percaya bidang keusahawanan adalah satu aspek penting bagi komuniti belia di negeri itu.

Baginda yang juga Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY) bertitah, bidang itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan penyebaran kekayaan kepada orang lain.

Namun titah baginda, bidang itu bukan mudah kerana ia perlu berdepan dengan cabaran yang unik dalam dunia yang semakin kompetitif.

“Segelintir individu akan gagal tetapi melalui pengalaman dan perkongsian dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), ia adalah satu permulaan hebat pada masa depan.

“Melangkah ke hadapan, SAY dan beta akan terus memainkan peranan kami dalam memaksimumkan kesan dengan memudahkan penglibatan di antara kerajaan, pertubuhan dan komuniti belia,” katanya.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyaksikan majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara SAY dan Hijrah Selangor di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, Hijrah Selangor akan menjadi rakan strategik Selangor Youth (SAY) IGNITE 2017.

Penaja utama Sunway Group.

Tengku Amir bertitah, Hijrah Selangor adalah inisiatif kerajaan negeri yang bertujuan bukan sahaja menyediakan dana yang diperlukan untuk usahawan berkembang.

Namun titah baginda, ia turut mewujudkan budaya penjimatan dan meluaskan rangkaian jaringan.

Ujar baginda lagi, pendekatan yang diguna pakai oleh Hijrah Selangor hampir sama dengan SAY apabila memberi sokongan yang diperlukan bagi golongan belia untuk belajar, bertanggungjawab, berdikari dan berdaya saing di Selangor. – MalaysiaGazette