Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – DAP tidak akan menyertai Himpunan RUU 355 tetapi menghormati hak Pas membuat demostrasi aman di Padang Merbok esok.

Dalam satu kenyataan bersama dua ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Gobind Singh Deo dan Zairil Khir Johari, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat CEC semalam.

“Kami telah menetapkan pendirian dengan jelas. Kami tidak menyokong sebarang cadangan untuk meminda RUU berkenaan daripada sifat asalnya. Kami akan tetap menentangnya di Parlimen.

“Kami akan nyatakan sebab secara terperinci semasa usul pindaan RUU itu dibahaskan di Parlimen kelak,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Abdul Awang seperti dilaporkan media hari ini menjangkakan 200,000 akan menghadiri perhimpunan menyokong usulnya untuk meminda RUU tersebut.

Perhimpunan itu didakwa bertujuan untuk memberi penjelasan dan percubaan untuk meraih sokongan terhadap pindaan RUU 355 atau RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) bagi memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksana hukuman jenayah.-MalaysiaGazette