KUALA LUMPUR: Honda Malaysia bakal memperkenalkan empat model baharu tahun ini dan menyasarkan penjualan 100,000 unit kenderaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Katsuto Hayashi berkata, di sebalik analisis meramalkan ketidaktentuan, Honda Malaysia tetap mempercayai tahun 2017 adalah tahun yang baik kepada industri automotif di samping sentimen pasaran yang semakin kukuh di rantau ini.

Katanya, strategi yang baik dan semangat yang kuat, syarikat berpengkalan di Jepun itu bukan sahaja mampu mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit malah ia akan terus memenuhi harapan pasaran serta melayan kepuasan pelanggan tahun ini.

Beliau meramalkan jumlah keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi tahun ini adalah 600,000 unit yang mana 100,000 daripadanya daripada Honda, meningkat lapan peratus berbanding tahun lepas sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran.

TIV bagi tahun 2016 jatuh 13 peratus atau di bawah 600,000 buat pertama kalinya dalam tempoh enam tahun kepada 580,124 unit.

Namun, Honda Malaysia berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan mengakhiri 2016 dengan jualan sebanyak 91,830 unit.

“Pencapaian membanggakan ini menjadikan penguasaan pasaran adalah 15.8 peratus, kedua tertinggi di mana Honda beroperasi secara global.

“Daripada segi domestik, peratusan tersebut mengekalkan Honda di kedudukan pertama bagi segmen kenderaan bukan tempatan buat dua tahun berturut-turut dan dalam masa yang sama melonjakkan kedudukan Honda di tangga kedua pada keseluruhan TIV buat pertama kalinya di Malaysia,” katanya dalam satu majlis di sini.- MalaysiaGazette