Seorang kakitangan Pos Malaysia menunjukkan setem Siri Siri Definitif Kebangsaan yang menampilkan Orkid.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan setem Siri Definitif Kebangsaan edisi ke-7 yang menampilkan pelbagai spesies Orkid.

Koleksi ini akan mula dijual pada Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, edisi Siri Definitif pernah menampilkan tema Bunga-Bunga Taman pada tahun 2010 lalu.

Bagi siri setem ini, Pos Malaysia memilih enam jenis Orkid yang paling popular iaitu Rynchostylis (60sen), Phalaenopsis (70sen), Vanda (80sen), Paphiopedilum (90sen), Aranda, (RM1.00) dan Papilionanda (RM1.10).

Peminat setem dan pelanggan digalakkan untuk mendapatkan koleksi segera kerana hanya ada 150,000 keping setem dicetak untuk setiap reka bentuk, katanya.

Siri ini juga akan menampilkan spesies Phalaenopsis Violacea yang dikenali di seluruh dunia dan turut diangkat menjadi identiti bunga bagi negeri Sarawak, sebagai tanda pembatalan setem bagi siri ini.

Selain itu, kesemua enam reka bentuk setem juga boleh didapatkan dalam Lembaran Mini bertebuk yang berharga RM7.40 setiap keping.

Produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dengan risalah percuma akan dijual pada 55 sen setiap satu, manakala folder dijual RM6.35 seunit.

Para pelanggan juga boleh membeli set folder lengkap pada RM135.80.

Orang awam digalakkan untuk membuka Standing Order Deposit Account (SODA) untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA dengan mendaftar secara atas talian di www.posonline.com.my untuk menikmati pelbagai faedah istimewa sebagai ahli SODA.

Peminat setem boleh layari laman web www.pos.com.my atau lawati terdekat Pos Malaysia Bahagian Galeri Filateli di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur atau kepada [email protected] untuk sebarang pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette