PETALING JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memanjangkan tempoh serahan rumah untuk beberapa projek perumahan daripada 36 bulan kepada 48 bulan.

Keadaan itu bermakna pembeli berkenaan yang sebelum ini layak mendapat pampasan kerana pemaju lewat menyerah rumah selepas 36 bulan perjanjian jual beli ditandatangani tidak lagi boleh menerima pampasan tersebut.

Mereka sebaliknya hanya layak menerima pampasan daripada pemaju jika penyerahan rumah lewat daripada 48 bulan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah, Tan Chong Leng berkata, pembeli yang terjejas rata-ratanya terdiri daripada mereka yang membeli pangsapuri.

Katanya kepada Sinchew Daily, perjanjian jual beli sebelum ini menyatakan bahawa pemaju boleh mengenakan kadar faedah 10 peratus jika pembeli gagal melunaskan bayaran mengikut jadual bayaran, sementara pembeli juga layak menerima pampasan pada kadar 10 peratus daripada bayaran setahun jika pemaju lewat menyerah rumah.

“Kami baru-baru ini menerima aduan daripada pembeli rumah dari Cheras dan Shah Alam bahawa pemaju telah memanjangkan tarikh serahan rumah dan menyebabkan pembeli tidak layak menerima pampasan,” katanya.

Difahamkan bahawa kejadian itu mengambil tempat semasa Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan masih merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tan Sri Noh Omar yang menggantikan Abdul Rahman hanya mengetahuinya selepas menerima aduan daripada Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah.

Abdul Rahman berkata, tindakannya memanjangkan tempoh serahan rumah (Extension of Time) adalah sah dan berlandaskan undang-undang.

Katanya, pemanjangan tempoh serahan rumah boleh dipohon jika kelewatan projek bukan disebabkan kesilapan pemaju.

Abdul Rahman berkata, beliau pernah meluluskan pemanjangan tempoh serahan, tetapi ia hanya membabitkan kelewatan yang bukan disebabkan pemaju.

Katanya, faktor luar jangkaan pemaju termasuk banjir, cuaca yang tidak baik, kerosakan bahan binaan dan keadaan rumit yang menyebabkan pemaju sukar mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette