Lim Kit Siang

JOHOR BAHRU – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyatakan kesediaan untuk membantu kepulangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain ke dalam parti.

Kenyataan pemimpin DAP itu dikeluarkan selepas Tong Him menyatakan bahawa Kit Siang tidak akan mengalu-alukannya dan tiga ADUN yang lain yang memilih keluar parti sebelum ini.

ADUN tersebut ialah Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang).

Kit Siang berkata, beliau sedia membantu kepulangan empat wakil rakyat tersebut tetapi ia adalah secara bersyarat.

Katanya, Tong Him perlu menarik balik kritikannya terhadap DAP termasuk dakwaan bahawa Kit Siang telah membelot prinsip parti.

“Kami telah mendapat sambutan orang ramai ketika melawat Melaka pada Selasa lalu, ini menunjukkan kami tidak membelot prinsip asal.

“Biar rakyat yang menentukan sama ada kami telah membelot prinsip,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Kit Siang berkata, beliau pernah membantu kepulangan Tong Him pada 1986 dan 2013 dan bersedia melakukan perkara yang sama. – MalaysiaGazette

Comments are closed.