Peserta Himpunan RUU 355 menunaikan solat maghrib di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL 18 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO berada sepentas lagi atas perjuangan yang sama, kali ini dalam menegakkan syiar Islam semasa Himpunan RUU355 yang berlangsung di Padang Merbok malam tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.

Ini bukan kali pertama kedua-dua parti mengadakan program bersama, malah sebelum ini isu memperjuangan nasib masyarakat umat Islam Rohingya juga menyaksikan pimpinan Pas dan UMNO dapat mencapai kesepakatan untuk duduk berbincang mencari jalan penyelesaian bagi membantu umat Islam yang ditindas di Myanmar.

Pada perhimpunan anjuran Pas malam tadi, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom juga hadir dan memberikan penerangan mengenai RUU355 dan turut sama adalah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan salam kepada tuan dan puan yang berada disini malam ini,” kata Jamil semasa berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang hadir dari seluruh pelosok negara.

Dalam himpunan malam tadi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan kerjasama dengan UMNO bukan suatu yang pelik, malahan sebelum ini semasa memberi cadangan kepada Suruhanjaya Reid kedua-dua parti itu juga duduk bersama dalam memartabatkan agama Islam.

Beliau berkata, Pas, UMNO dan pertubuhan lain juga berjuang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya.

Katanya, kerjasama serupa perlu dilakukan sekarang berhubung RUU355 sebagai ‘tanggungjawab agama’.

“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya.

Hadi juga membidas pihak yang menentang RUU355 dengan mengumpamakan mereka sebagai ‘nyamuk dan agas kecil’.

Jelasnya, pihak yang menentang dilihat seperti nyamuk dan agas kerana berbanding pada awal 1970-an, tokoh ilmuan barat telah mengiktiraf kedudukan syariat Islam.

“Di akhir abad lalu, awal 70-an, kalangan ilmuan barat bersama Vatican City dan bersama muslim Mekah menganjurkan pertemuan bersama ilmuan Islam dan barat yang melibatkan ilmuan undang-undang.

“Tokoh-tokoh ilmuan barat mengiktiraf kedudukan syariat Islam.

“Mereka (yang menentang) yang ada di Malaysia ini nyamuk dan agas kecil sahaja,” katanya.

Sehubungan itu Hadi menasihatkan pihak yang menentang agar pindaan itu dilaksanakan supaya mengkaji undang-undang lapuk yang ada di negara ini.

“Daripada kamu mencemuh usaha memperkasakan mahkamah syariah, lebih baik bincang undang-undang yang lapuk zaman purba yang masih menggunakan tali gantung.

“Sepatutnya ini yang dibincangkan mereka, bukan mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan ilmu pengetahuan,” kata Ahli parlimen Marang itu. – MalaysiaGazette