Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberikan kenyataan media mengenai maklumat terkini isu pembunuhan Kim Jong Nam sambil menunjukkan beberapa suspek yang telah dikenal pasti. Turut serta Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat pada sidang media yang diadakan di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 22 FEBRUARI 2017.
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata belum ada seorang pun waris mendiang Kim Jong-nam yang telah menyerahkan sampel DNA atau membuat pengecaman mayatnya.

Katanya laporan oleh media tempatan dan asing kononnya anak lelaki Jong-nam iaitu Kim Han-sol telah melakukan kedua-dua tindakan itu di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini, hanyalah khabar angin.

“Oleh itu, janganlah percaya khabar angin yang tersebar di media sosial, bagilah kami siasat kes ini.

“Setakat ini, saya mengesahkan tiada waris Jong-nam yang hadir di IPFN untuk menyerahkan sampel DNA dan membuat pengecaman,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Khalid berkata pihaknya telah memberi masa selama dua minggu kepada waris untuk berbuat demikian.

“Saya memohon kepada mana-mana waris terdekat Jong-nam untuk tampil di bilik mayat HKL bagi menyerahkan sampel DNA dan membuat pengecaman mayat,” katanya.

Khalid juga memberi jaminan perlindungan polis jika waris Jong-nam tiba di Malaysia bagi urusan itu.

Ditanya mengenai ketibaan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman di IPFN baru-baru ini, Khalid berkata pasukan itu dihantar ke sana setelah pihaknya menerima laporan berlaku insiden cubaan pecah masuk di IPFN.

“Kami menerima ada laporan berkenaan (cubaan pecah masuk) dan kerana itulah kami menghantar pasukan STAFOC bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan di IPFN.

“Bukan kerana kami menghantar STAFOC untuk sebab lain (dakwaan media mengatakan polis mengiringi waris Jong-nam untuk serah sampel DNA dan pengecaman mayat),” katanya.

Pada 13 Feb, Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua orang wanita dikatakan menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

— BERNAMA