Sabin Samitah
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan sebanyak 4.2 juta pembayar cukai menggunakan e-Filing tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah.

Katanya, sasaran itu merupakan peningkatan sebanyak 2.4 peratus pembayar menggunakan e-Filing tahun lepas.

Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran 2016 boleh dikemukakan melalui e-Filing bermula 1 Mac ini.

“Saya menasihatkan pembayar cukai supaya menghantar borang lebih awal bagi membolehkan bayaran balik lebihan kredit dapat dilakukan dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Fit HASiL’ di sini, Sabtu.

Selain itu, ia juga sebagai langkah mengelak kesesakan pada sistem tersebut sekiranya pembayar cukai mengisytiharkan cukai pendapatan masing-masing pada tarikh akhir menghantar borang, katanya.

Bagaimanapun, Sabin memberi jaminan pihaknya telah membuat persediaan dari segi meningkatkan kapasiti sistem untuk membolehkan pembayar cukai menghantar borang secara dalam talian tanpa menghadapi sebarang masalah.

Tarikh akhir menghantar borang dan membayar cukai pendapatan tahun taksiran 2016 bagi Borang E ialah 31 Mac 2017, BE (30 April) serta B dan P (30 Jun).

Bagi Borang BT, M, MT dan TF, tarikh akhir berbuat demikian ialah 30 April 2017 bagi yang tidak menjalankan perniagaan, dan 30 Jun bagi yang menjalankan perniagaan.

Sementara itu, program edisi kedua ‘Fit HASiL’ itu dianjurkan sebagai sebahagian pengisian Sambutan Hari HASiL pada 1 Mac ini serta menyokong dasar kerajaan untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja LHDN.

— BERNAMA