Mangsa-mangsa tembakan di sebuah bar di Olathe. foto Foxnews

KANSAS – Balu kepada lelaki India yang ditembak mati, dipercayai akibat jenayah kaum di Amerika Syarikat (AS) memberitahu suaminya sangat cintakan Amerika dan datang ke negara itu dengan pelbagai impian.

Sunayana Dumala yang kecewa dengan kematian suaminya, Srinivas Kuchibhotia kini berada di India bersama-sama keluarga.

Kuchibhotla ditembak mati di sebuah bar di Olathe, Kansas. Rakannya Alok Madasani dan seorang rakyat Amerika cedera.

Adam Purinton, 51, didakwa dengan jenayah pembunuhan terancang darjah pertama.

Dumala berkata, dia bimbang tentang kebencian kaum selepas pemilihan Presiden Donald Trump. Bagaimanapun, suaminya terlalu komited dengan kehidupan mereka di AS dan pekerjaannya sebagai soerang jurutera.

“Minggu lalu kami memandu ke Iowa untuk menziarah kawan-kawan dan anak kawannya yang baru lahir. Semasa perjalanan pulang, saya memandu kerana beliau bekerja. Secara peribadi dia seorang yang gigih bekerja dan mahu melalukan terbaik untuk AS.

Kuchibhotla bekerja di Garmin, sebuah syarikat teknologi di AS bersama rakannya Madasani, yang sudah keluar hospital.

Mangsa dan Madasani selalu ke Austin Bar and Grill untuk minum selepas bekerja.

Tetapi, pada malam Rabu lalu, seorang pelanggan, Adam Purinton telah menjerit ke arah mereka sambil memberitahu Kuchibhotla dan Madasani bukan milik Amerika, menurut seorang saksi.

Madasani memberitahu: “Lelaki ini tiba-tiba datang dan menuding jari … dan berkata, kamu dari negara mana dan adakah anda di sini secara haram?,”

Saspek kemudian keluar dan kembali semula dengan pistol lalu melepaskan tembakan, membunuh Kuchibhotla.

Madasani cedera, bersama-sama dengan Ian Grillot, yang merupakan warga AS, berusia 24 tahun ketika cuba untuk campur tangan.

Kali terakhir Dumala menemui suaminya awal pagi pada hari kejadian sebelum beliau ke pejabat.

Dumala mendapat tahu kematian suaminya selepas dimaklumkan oleh seorang rakan yang datang ke rumah. Beliau kemudian bergegas untuk ke hospital tetapi jatuh ketika digaraj.

Dia tunggu di rumah sehingga dua anggota polis tiba.

Biro Penyiasatan Persekutuan kini sedang menyiasat kes itu untuk mengenal pasti sama ada mangsa dan Madasani menjadi sasaran disebabkan faktor kaum. – MalaysiaGazette