Azih Muda

KUALA LUMPUR –  Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) oleh kerajaan Johor didakwa bercanggah dengan Akta 171 Akta Kerajaan dan tidak relevan dilaksanakan.

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dan membantah sekeras-kerasnya cadangan penubuhan SPBT itu sama ada di peringkat negeri-negeri atau kerajaan Pusat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, cadangan SPBT yang didakwa dipersetujui kerajaan negeri Johor itu bercanggah dengan Seksyen 16, Akta 171, Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976.

“Sekiranya Johor berhasrat menubuhkan sendiri SPBT, ia bercanggah dengan Akta 171 dan membelakangkan perundangan sedia ada selain dilihat sebagai diskriminasi terhadap kira-kira 5,000 kakitangan awam di 16 buah PBT di negeri itu.

“Selain itu terdapat banyak perundangan lain yang berkaitan dengan pemakaian Akta 171 PBT sama ada dari segi bilangan kakitangan, peruntukan bajet atau lain-lain berkaitan emolumen yang dibayar PBT itu sendiri sahaja.

“Penubuhan SPBT tidak mampu menyelesaikan masalah dalam PBT termasuk kecekapan perkhidmatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama kata Azih, pentadbiran kerajaan Pusat menyaksikan perubahan daripada segi sistem penyampaian perkhidmatan awam telah ditambahbaik dengan kenaikan pangkat dan kecekapan produktiviti melibatkan 240 skim perkhidmatan Persekutuan, negeri dan berkanun.

Malah jelas beliau lagi, CUEPACS kesal dengan tindakan Johor yang mendahului keputusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak memutuskan pelaksanaan suruhanjaya itu.

Azih berkata, tiada mana-mana pihak yang boleh membatasi akta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak mahu sesetengah pihak bercadang memanipulasikan isu berkenaan demi kepentingan mereka, bertukar kakitangan dengan cara sebegini.

“Ini (SPBT) tidak adil, bercanggah dengan prinsip dan norma-norma penjawatan awam sendiri dan Exco berkaitan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegini kerana akan wujud percanggahan undang.

“Lagi pun, kenyataan itu dianggap tak berpandukan kehendak undang-undang dan mungkin berasaskan politik, ia mengelirukan dan mencetuskan rasa tidak senang dengan penjawatan awam khususnya ahli PBT di Johor dan batalkan segera cadangan itu,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada seruan CUEPACS akan diberi pertimbangan oleh kerajaan Johor, Azih berkata, ia bukan persoalan penting tetapi pihaknya bersiap sedia mencabar keputusan kerajaan negeri itu di mahkamah.

Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan belum mencadangkan penubuhan SPBT dan walaupun cadangan yang dikemukakan pada tahun 2009 tetapi tidak diteruskan kerana banyak isu berbangkit dan dibantah CUEPACS disebabkan Akta 171 masih relevan.

Ujar beliau lagi, sistem sedia ada sudah cukup dan tidak memerlukan SPBT.

“Ada reaksi kakitangan awam PBT ketakutan, tetapi mereka akan digunakan sebagai alat, kita tak tahu. Diluar sana macam-macam boleh berlaku dan kita tak nampak kebaikannya.

“Kami akan mencabar di mahkamah, jika cadangan SPBT diteruskan oleh Johor.

“Saya dah tulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan kalau perlu akan dipanjangkan kepada ketua menteri dan menteri besar negeri -negeri lain.

“Cadangan SBPT takde kaitan untuk perbaiki perkhidmatan awam, dia kena faham menerusi produktiviti bulanan tidak ada kaitan sedikit pun memperbaiki perkhidmatan awam.

“Orang cakap itu tak faham. Dia kena faham pasal produktiti bukan menerusi menubuhkan suruhanjaya,” ujarnya lagi.

Pada 21 Februari lalu, mesyuarat KPKT memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan itu dan tidak ada keputusan penubuhan SPBT, katanya.

Pada 22 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi berkata, penubuhan SPBT sedang dalam peringkat perangkaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Johor dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.  MalaysiaGazette