S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Laporan autopsi mayat abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, iaitu Kim Jong-nam telah pun diserahkan kepada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, butiran terperinci mengenai laporan bedah siasat dan penyerahan itu tidak perlu dimaklumkan kerana ia urusan antara polis dan Kementerian.

“Kami sudah menyerahkan laporan lengkap autopsi kepada polis baru-baru ini.

“Laporan autopsi dan penyerahan adalah urusan antara kami (kesihatan) dan polis, tidak perlu mendedahkan kepada anda,” katanya ketika ditemui di Stesen KL Sentral di sini.

Beliau hadir ke majlis pra-pelancaran ‘Youth Outreach Expo’ 2017 anjuran sayap Pemuda MIC Kebangsaan yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Mei ini.

Dalam perkembangan sama, Subramaniam juga menekankan kepentingan kemunculan waris Jong-nam untuk mengenalpasti identiti si mati untuk memudahkan proses penyerahan.

Dalam hal hal ini, katanya kementeriannya bekerjasama rapat dengan polis untuk menguruskan mayat kes pembunuhan yang menarik perhatian antarabangsa sejak pembunuhan pada 13 Februari lalu.

“Kami perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengendalikan mayat Jong-nam melainkan polis mengarahkan kita apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan hal ini secara profesional dan teratur,” ujarnya lagi.

Jong-nam diserkup dengan kain yang disembur Agen Saraf VX oleh dua wanita di klia2.

Dua suspek wanita masing-masing warga Vietnam dan Indonesia telah ditahan polis dan disiasat.

Subramaniam turut mengesahkan bahawa kedua-dua wanita itu iaitu Siti Aishah (Indonesia) Doan Thi Huong (Vietnam) bebas daripada sebarang bahan kimia berbahaya selepas pemeriksaan perubatan dijalankan.

Peguam Negara, tan Sri Mohamad Apandi Ali hari ini mengesahkan kedua-dua suspek wanita itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok. – MalaysiaGazette