Syed Hamid Albar

PETALING JAYA – Malaysia hanya boleh menahan Hyon Kwang-song yang merupakan suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam jika Pyongyang membatalkan imuniti diplomat tersebut.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, polis di negara ini tidak boleh memasuki premis Kedutaan Pyongyang dengan sewenang-wenangnya.

“Malaysia hanya boleh memujuk Korea Utara untuk membatalkan imuniti diplomat Kwang-song. Ini merupakan satu-satunya pilihan yang ada,” katanya kepada Sinchew Daily.

Polis sebelum ini mengumumkan bahawa Kwang-song merupakan antara suspek yang dikehendaki polis dan dia dipercayai berlindung di dalam Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Kata Syed Hamid lagi, Kuala Lumpur tidak boleh memaksa Pyongyang untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa, hanya mampu menunggu sahaja,” katanya.

Malaysia tidak boleh menahan diplomat walaupun mereka melakukan kesalahan, tetapi boleh mengisytiharkan mereka sebagai persona non grata. – MalaysiaGazette