MANCHESTER – Zlatan Ibrahimovic menegaskan masa depannya di Manchester United tidak bergantung kepada kelayakan mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Ibrahimovic yang menandatangani kontrak selama satu musim pada Julai 2016 dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak bagi musim 2017-18 masih belum memberikan pengesahan untuk kekal di United selepas meledak 26 gol dalam 38 perlawanan.

Ejennya, Mino Raiola enggan mempengaruhi pemain itu yang meledak gol kemenangan dalam final Piala EFL berdepan Southampton.

“Mari kita lihat apa bakal berlaku,” kata Ibrahimovic yang berusia 35 tahun.

Dia menegaskan kelayakan untuk beraksi di pentas tertinggi Eropah tidak akan menjadi faktor buat dirinya untuk kekal di Old Trafford.

“Saya ke United bukan kerana UCL. Ia tidak bermaksud jika mereka gagal layak beraksi dalam UCL, saya tidak akan melanjutkan kontrak.”

Ibrahimovic mengesahkan tiga individu yang meyakinkan dirinya untuk ke United iaitu anak-anaknya, Maximilian dan Vincent serta pengendali pasukan, Jose Mourinho.

“Kelab perlu berterima kasih kepada Mourinho kerana dia telah menghubungi saya untuk membawa saya ke England. Anak-anak lelaki saya juga mahu melihat saya bermain untuk United.” katanya.

Ibrahimovic yang menikmati musim gemilang bersama kelab seperti Inter, AC Milan, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG), turut memberitahu, dia tidak akan mencemarkan kejayaannya dengan bermain di luar tahap terbaiknya.

“Saya tidak akan menjadi seperti pemain lain, saya akan terus bermain selagi masih mampu menghasilkan keputusan yang positif buat pasukan saya,” katanya. – MalaysiaGazette