LONDON – Newcastle melakukan kebangkitan dramatik ketika mencatat kemenangan bersemangat 2-1 ke atas pencabar utama Liga Kejuaraan Brighton dalam usaha kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Rafael Benitez kini berada di puncak liga divisyen dua Inggeris itu apabila berjaya memintas Brighton hasil dua jaringan lewat pada sembilan minit terakhir permainan di Stadium Amex.

Kemenangan ke-12 daripada 17 aksi terakhir di tempat lawan itu meletakkan Newcastle kembali di landasan tepat untuk ‘dinaikkan pangkat’.

Anak-anak buah Benitez kini dua mata di depan Brighton dan lapan mata mengatasi pasukan tangga ketiga, Huddersfield ketika mereka mengintai peluang untuk kembali ke EPL selepas tersingkir musim lalu.

Ia satu tamparan buat Brighton yang memasang impian untuk kembali ke kancah utama itu buat kali pertama sejak terlepas pada musim 1982-83 selepas  tewas pada aksi play-off separuh akhir. – MalaysiaGazette