Datuk A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar perlu melihat muka sendiri dicermin terlebih dahulu sebelum mendakwa Perdana Menteri telah ‘menyakiti’ hati penduduk Kampung Kerinchi.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan berkata demikian membidas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang didakwanya iri hati dengan usaha yang dibuat kerajaan melalui komitmen Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan Perdana Menteri tidak menyindir malahan apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar.

“Jika bukan kerana keangkuhan dan fitnah Ahli Parlimen Lembah Pantai, seramai 34 keluarga itu tidak akan tertinggal daripada manfaat projek perumahaan semula Residence Kerinchi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chandrakumanan, keseluruhan projek rakyat yang dilakukan kerajaan dilaksanakan dan disiapkan dengan cemerlang berbanding dengan di negeri-negeri milik pembangkang.

Malah Rumah Rakyat yang dicadangkan di Selangor dan Pulau Pinang masih belum jadi kenyataan dan hanya ‘bayang-bayang’ sahaja.

“Mereka (pembangkang) hanya tahu cakap besar tetapi tidak akan menterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Saya masih tidak lupa bagaimana Nurul Izzah telah menghasut rakyat kawasan ini untuk membantah pembinaan semula rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi pada tahun 2012.

“Kekecohan telah tercetus sehingga Nurul Izzah dihalau keluar oleh majoriti penduduk-penduduk dari kawasan itu dan ketika itu Nurul Izzah memburukkan cadangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik pada ketika itu bahawa pembangunan semula rumah pangsa dikawasan ini tidak akan berjaya.

“Kalau bukan kerana pembohongan ahli parlimen ini kesemua penduduk Kampung Kerinchi mungkin akan memiliki kediaman baharu yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, akibat perbezaan politik di negara ini, pembangkang selalu mengelirukan dan menuduh kerajaan dalam apa jua polisi yang dilaksanakan.

“Inilah yang telah berlaku kepada 34 keluarga kawasan ini yang terpedaya dengan kata-kata Nurul Izzah pada tahun 2012.

“Nurul telah mempergunakan kelemahan rakyat untuk kesempatan politik beliau sebelum pilihanraya umum ke-13 dengan menghasut penduduk kawasan ini dan akhirnya rakyat yang mengalami kerugian.

“Beliau pula masih mendapat manfaat sebagai ahli parlimen kawasan ini, tetapi 34 keluarga kawasan ini telah kehilangan apa yang mereka patut nikmati demi kesejahteraan hidup, jelas beliau lagi.

Chandrakumanan berkata, Nurul Izzah cuba memutarbelitkan kenyataan Najib untuk mendapat simpati rakyat.

“Saya pasti pengundi Lembah Pantai boleh berfikir dengan waras dan jangan beri ruang kepada sesiapa untuk mengambil kesempatan dan menghasut selepas ini,” tegas bekas Naib Presiden myPPP itu lagi.- MalaysiaGazette