Polis berkata sesuatu kepada pelajar yang hendak dipindahkan di Universiti Concordia.

MONTREAL – Universiti Concordia di Kanada menerima ancaman bom yang menyasarkan pelajar Islam sehingga memaksa lebih 4,000 pelajar dipindahkan dari kampus berkenaan.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘underground’ chapter of C4 itu menghantar emel kepada pentadbiran universiti dan media tempatan sebagai amaran kepada pelajar Islam.

Menerusi amaran itu, pihak terbabit mengancam akan meletupkan bahan letupan buatan sendiri sehari sebelum hari Jumaat (esok) sebagai bantahan terhadap aktiviti pelajar Islam.

“Kini Donald Trump sudah jadi Presiden Amerika Syarikat. Kami tidak akan bertolak ansur lagi.

“Selagi Universiti Concordia tidak menghentikan semua aktiviti keagamaan di kampus, kami memutuskan tindakan lanjut untuk menunjukkan sejauh mana kami bersedia untuk memerangi orang Islam,” kata kumpulan itu.

Jurucakap Universiti Concordia, Christine Mota berkata, tiga bangunan universiti terbabit dikosongkan sebelum tengah hari dan ditutup hingga jam 6.00 petang waktu tempatan, semalam.

Surat ancaman yang sama turut dihantar kepada Universiti Mcgill yang terletak di kawasan berhampiran, menyebabkan pentadbiran kini dalam keadaan berjaga-jaga. – MalaysiaGazette.