Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan hanya akan berdialog dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pindaan RUU 355 dan bukan pemimpin lain dalam parti Islam itu.

Kenyataan Asri itu dibuat susulan gesaan supaya beliau menerima tawaran untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali kerana bertentangan pendapat dalam isu undang-undang Islam itu.

Asri memberi alasan beliau tidak pernah mengajak sesiapa untuk berdebat dengannya dalam isu RUU itu seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“”Saya tidak mencabar beliau (Datuk Dr Khairuddin Aman Razali).

“Jika Pas teringin hendak saya berdialog, saya cadangkan presiden Pas berdialog dengan saya mengenai hal ini,” Asri dipetik berkata semalam.

Terdahulu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, debat mengenai pindaan Akta 355 itu patut berlangsung antara Khairuddin dengan Asri.

Mengulas lanjut, Asri mempersoalkan siapa Kamarul Zaman yang mencadangkan supaya beliau berdebat dengan Khairuddin.

“Saya tidak kenal siapa dia Kamarul berkenaan. Dia pensyarah universitikah atau wakil Pas?

“Apa yang saya lihat MP Kuala Nerus mencabar sesiapa sahaja berdebat. Sudah ada yang menjawab iaitu Dr Rozaimi Ramle,” kata Asri merujuk Rozaimi yang juga pensyarah Jabatan Fikah dan Usul Fiqh UPSI.

Oleh demikian Asri mengingatkan Khairuddin agar tidak memberi alasan untuk melarikan diri.

“Maka, (Khairuddin) kena setuju sebab dia yang sebut sesiapa sahaja. Dia jangan beri alasan hendak melarikan diri.

“Kita kena faham, seseorang yang tidak menyokong sepenuhnya penjara 30 tahun denda RM100,000 bukan tidak menyokong syariah Islam. Banyak lagi isu lain disebalik 30 tahun dan RM100,000 denda itu,” kata Asri.